Nuffnangs

Friday, October 15, 2010

CERPEN : NUR KASIH

NUR KASIH

      Teringat aku ketika itu aku masih didalam darjah 3. Masa itu aku bersekolah yang diberi nama Sek Keb Ulu Tiram atau yang kebiasaanya disebut SKUT oleh orang-orang kat situ. Hari itu aku rasa sungguh malas nak ke sekolah sebab tengah hari itu hujan turun agak lebat. Macam biasa ibu sedang sibuk memasak di warung yang juga merupakan tempat tinggal kami sekeluarga. Ayah tidak kelihatan ketika itu, mungkin dia ada kat tempat basuh pinggan yang terletak dipintu belakang warung.

Ketika itu pelanggan tiada kerana mungkin belum waktu makan tengahari lagi. Baru pukul 11, detik hatiku sambil melihat jam mickey mouse yang baru dibeli oleh ayahku. Sudah lebih 5 tahun kami tinggal di situ. Banyak peristiwa pahit manis yang telah aku alami ketika di situ. Seingat aku, abangku dan aku sendiri tidak dilahirkan di situ. Abangku lahir di Kota Tinggi di mana ketika itu, ibu dan ayahku tinggal di sebuah estet di sana. Aku pulak lahir di Sri Gading Batu Pahat. Kalau orang tengok surat beranak kitaorang pasti orang akan tertanya-tanya. Ada yang kata ayahku seorang tentera atau polis kerana biasanya orang yang macam tu yang selalu berpindah randah macam nomad. Sebenarnya, ayah dan ibuku bekerja di sebuah ladang yang mana kerjanya mengikut kontrak. Habis kerja kat situ, pindah ke tempat lain. Begitulah kehidupan kami. Ibuku kata kami ada seorang lagi adik perempuan tetapi tuhan lebih sayangkan dia. Dia meninggal ketika berumur 8 bulan. Kena sakit polio. Kesian kan. Yelah ketika itu kehidupan kami sekeluarga miskin dan kurang pengetahuan tentang sakit itu. Adik ketika itu tidak di bawa ke hospital atau klinik dan oleh kerana keadaannya sudah serius, arwah adik tidak dapat diselamatkan lagi. Abangku juga pernah diserang polio tetapi nyawanya masih panjang. Alhamdullillah dia sembuh dan dapat menjalani kehidupan dengan normal sehingga kini.

Tersentak aku apabila tiba-tiba ada tangan menyentuh bahuku. "Min, tak nak  bersiap ke sekolah?" tanya ibu kepada ku. Rupanya ibu yang mungkin lama memerhatikan aku yang sedang mengelamun. "Rasa malas pulak lah bu..lagipun hujan lebat lagi ni. Siapa yang nak hantar min ke sekolah". "Ayah kau le, siapa lagi. Dah..jangan nak mengada-ngada. Cepat mandi dan bersiap. Nanti terlambat pulak"."Yelah...Yelah". dengan malasnya aku pergi ke bilik air yang terletak di belakang rumah aku. 

Pada suatu pagi ketika aku sedang  membuat kerja rumah di dalam bilik, ayahku pulang dengan senyuman yang paling lebar. Aku lihat ditanganya ada satu kotak yang tertera di hadapannya gambar televisyen cap ayam. Kalau tak salah aku jenama telefunken. Hatiku berdebar-debar apabila sahaja ayahku meletakkan kotak itu di atas meja kopi.

Ye...ye...ye...ye..ayah beli tv. Ketika itu abangku baru saja balik dan apabila dia nampak sahaja kotak televisyen itu, dia pun turut melonjak-lonjak kegembiraan bersama-sama aku.Adik aku yang bongsu, Amran sedang tidur turut terjaga apabila terdengar bunyi bising yang kami lakukan. Ayah dengan tenang membuka kotak televisyen tersebut dan meletakkan televisyen itu di atas almari yang juga merupakan almari baju kami. Aku bertanya kepada ayah, macamana nak tengok sebab takde antenanya, ayah ku menjawab antenanya ada didalam kotak. Siap dipasang kami 3 beradik tidak berganjak dihadapan tv. TV yang dibeli ayahku adalah tv hitam putih dan kami sekeluarga sangat seronok kerana dapat menonton rancangan kegemaran setelah sekian lama hanya mendengar cerita dari rakan-rakan disekolah.   Petang itu kami 3 beradik tidak keluar rumah untuk bermain basikal seperti biasa kerana leka dengan rancangan kartun ditv. Terima kasih ayah kerana faham dengan kehendak anak-anakmu.

Aku teringat pada satu masa, ketika itu cuma tinggal 5 hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Masa itu, kami 3 beradik sedang gembira bermain basikal di tepi warung kami. Aku masih ingat tempat kami bermain itu adalah jalan tanah merah yang menuruni bukit dan terdapat satu lopak air di laluan itu. Terdapat sekeping pintu kereta diletakkan ditengah-tengah lopak air tersebut kerana terdapat terdapat lumpur di situ. Mungkin tujuannya untuk mengelakkan tayar kereta dari terbenam agaknya. Entah macam mana ketika aku sedang menuruni jalan itu, kaki kanan ku tersangkut di pintu kereta itu dan aku terjatuh. Nasib baik tiada batu ditempat aku jatuh, Kalau tidak aku tidak tahu apa akan terjadi. Entah mengapa aku merasa pedih di bahagian atas tapak kakiku dan apabila aku lihat, rupa-rupanya kakiku telah luka dan jelas luka itu sangat dalam hingga menampakkan daging. Aku lihat darah mula keluar dengan banyaknya dan sakitnya sudah tertahan lagi. Aku rasa seperti mahu pitam dan ketika itu aku dapat rasakan ayahku mengangkat aku dan membawa aku ke klinik di Ulu Tiram. Aku masih ingat aku dihantar ke Klinik London yang memang terkenal di situ. Setelah luka itu dirawat aku telah dibawa pulang ke rumah dan ayahku beritahu bahawa luka aku dijahit sebanyak 8 jahitan. Malam itu aku tak dapat tidur sebab luka itu terasa berdenyut-denyut dan esoknya aku telah diserang demam panas. Di masa itu, ibuku telah menjaga aku dengan penuh kasih sayang. Nampaknya tahun ni aku terpaksa beraya di rumah dengan ditemani luka yang baru aku perolehi.

Curahan hujan yang lebat telah membangkitkan aku dari lamunanku. Sambil tersenyum sendirian di kerusi  pejabatku, aku mengusap-usap kaki ku. Jelas kelihatan parut seperti seekor lipan di atas  kakiku. Parut itulah yang menjadi pengajaran kepada ku supaya lebih berhati-hati ketika membuat sesuatu. Pernah satu ketika adikku bertanya tentang parut itu. Aku hanya mengatakan bahawa ada seekor lipan sudah masuk kedalam kakiku. Punyalah takut adikku ketika itu dan dia benar-benar percaya tentang apa yang ku ceritakan.

 Tiba-tiba aku terdengar bunyi ketukan di pintu. Daripada ruang cermin telus pandang dapat kulihat rakan ku sedang melambaikan tanganya kepada ku. Aku pun menyuruh dia masuk dengan melambaikan tanganku.

Assalammualaikum...Hani rakan baikku memberi salam sambil menghulurkan tangannya. Waalaikumsalam, jawabku sambil menyambut tanganya. Duduklah, kataku. Hani adalah rakan baikku yang juga seorang Peguam sama sepertiku. Pejabatnya terletak tidak jauh daripada pejabatku dan kami sering berjumpa sambil berbincang tentang kes dan juga apa sahaja masalah yang berlaku. Putih orangnya, agak chubby tapi comel juga. Sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan. Suaminya juga adalah seorang Peguam, sama seperti suamiku. Masing-masing mempunyai kecenderungan yang agak serupa iaitu berniaga. Walaupun Hani lebih muda daripadaku lebih kurang 5 tahun tapi kami dapat berkawan dan bersahabat kerana masing-masing mengetahui tentang hati budi masing-masing. Aku mengenalinya ketika dia mula-mula membuat ‘chambering’ di Batu Pahat. Dia orang Batu Pahat dan aku juga lahir di Batu Pahat tetapi sekarang menetap di Kluang.

Apa yang kakak menungkan tadi? Tanya Hani. TIba-tiba saya tengok akak tersenyum sendiri. Katanya lagi. Takdelah...akak teringat masa kecik-kecik dulu..dan kaki akak luka akibat main basikal. Ni hah.. tengok parut luka tu. Ada rupa macam lipan kan, ujarku. Aah lah kak.. betul macam lipan, balas Hani. Nampaknya  parut ni akan kekal seumur hidup kakak, kataku. Tapi bila akak tengok luka dan teringat masa silam, terasa sayu sebab masa ni jugalah akak akan teringatkan ayah dan ibu kakak. Kalau mereka ada lagi. Tak dapat rasanya nak balas semua budi dan jasa mereka, kataku sambil menahan kesayuan.

Sudahlah kak, mereka rasanya hidup aman di sana apabila tengok akak dan adik-beradik yang lain berjaya dalam hidup dan hidup bahagia dengan keluarga masing-masing, kata Hani sambil memegang tanganku. Marilah kak, kita keluar pergi minum...perut saya rasa laparle hujan-hujan ni. Saya belanja hari ni, pujuk Hani. Ok lah jom kita pergi. Nak pergi mana? Tanyaku. Kita  pergi Kluang Rail ok gak. Kata Hani. Naik kereta saya le, pelawa Hani. Jom kataku.

Sudah lebih 8 tahun aku menjadi pengamal undang-undang atau  dengan kata lainnya Peguambela dan Peguamcara. Sekarang aku mempunyai 4 orang cahaya mata, 3 perempuan dan seorang lelaki. Yang sulung sudah di Tahun 1 dan yang kecil berusia setahun. Suamiku juga seorang peguam dan sekarang ini sedang sibuk menjalankan projek perniagaan dengan suami Hani. Hidupku rasa sangat bahagia sebab suamiku seorang yang penyayang, penyabar, memahami dan sentiasa bersama keluarga. Alhamdullillah...ku harap semuanya akan berpanjangan sehingga ke syurga.

Aku masih ingat juga ketika aku bersekolah di Kluang setelah kami berpindah dari Ulu Tiram, ayahku masih menghantar aku ke sekolah dengan motor buruknya dan pada suatu masa aku dihadiahkan dengan sebuah basikal kerana mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Darjah Lima. Dengan basikal itulah aku ke sekolah setiap hari samada pagi atau petang. Tidak pernah terlintas di hatiku bahawa suatu masa nanti aku akan memandu kenderaan mewah seperti sekarang.

Ayahku seorang yang pendiam manakala ibu agak garang tetapi aku fikir dengan sifat garangnya itulah aku berjaya hari ini. Segarang mana ibu, sifat penyayangnya itu sukar untuk aku lupakan. Masakannya , pelukan manjanya, senyumannya memang tiada gantinya. Ya Allah...tempatkan ayah dan ibu dikalangan orang-orang yang  beriman dan engkau kasihi. Amin...
Perjalanan hidupku diteruskan dengan kehadiran anak-anakku dan suami tercinta.Kini aku tidak mahu anak-anakku merasa susah seperti aku dahulu tetapi dalam masa yang sama aku tidak mahu mereka hanyut dalam kesenangan dan kemewahan yang ada. Aku tetap mengajar mereka bagaimana untuk berdikari dan merasakan sedikit kesusahan kerana aku tidak mahu mereka terkapai-kapai sekiranya aku dan suamiku tiada lagi di dunia ini. Aku berdoa kepada Tuhan agar mereka juga tidak akan pernah jemu untuk mensedekahkan Al Fatihah kepada kami setelah kami pergi nanti. 

 Nukilan : Talam keladi
Hak Cipta terpelihara - sebarang plagiat adalah dilarang sama sekali tanpa kebenaran pencipta

4 comments:

  1. salam. thanks for visiting me at http://iluvmyframepink.blogspot. belog itu akan move to http://gulagulakapas.blogspot. kindly visit here before 20/10 ada contest menarik menanti kamu..comel tapi tak lumayan. LOL.

    ReplyDelete
  2. go abg long!!! boleh jadik freelancer

    ReplyDelete
  3. kerul...thanks...insyaAllah..akan terus berkarya. Tunggu je!

    ReplyDelete
  4. aku.gadis.itu....dah masuk, tp x jumpa contest tu?

    ReplyDelete

Dear Frens...Leave your comment here...Really Appreciate it!

MEE BANDUNG BATU PAHAT KUAH KACANG

REMPAH SEGERA MEE BANDUNG
REMPAH SEGERA MEE BANDUNG

Bloggers Mengomel!!

QIBLAH DAN SHOLAT TIME ZONE