Kedengaran dari jauh lolongan anjing bersahutan dihujung kampung. Dingin malam menyengat hingga ke tulang hitam. Sariah melihat jam ditangannya. "dah pukul 12.30" bisik hatinya.
Minggu ni adalah minggu pertama Sariah bekerja syif malam setelah sebulan dia bekerja di Kilang sarung tangan getah yang terletak di pekan. Sepatutnya dia balik pukul 11 malam tapi kerana kekurangan orang, malam ini semua orang yang bekerja terpaksa melakukan kerja lebih masa.
Suasana memang sunyi, keadaan jalan kampung hanya diterangi oleh lampu jalan yang samar-samar. Dari jauh dia terpandang pokok ketapang yang tinggi menjulang ke langit betul-betul berdekatan dengan sebatang lampu jalan. Banyak cerita dah didengarnya dari orang kampung, tentang pokok ketapang tersebut. Semuanya cerita yang tidak menyenangkan hatinya sekarang. "Ahh...pedulikan lah cerita-cerita tu...mengarut jer semuanya,"getus hatinya.
Rumahnya tidaklah berapa jauh daripada situ, cuma dalam 500 meter sahaja daripada pokok itu. Namun, antara pokok tersebut dan rumahnya tiada rumah penduduk kampung di situ. hanya tanah kosong yang ditumbuhi pokok-pokok hutan dan semak samun sahaja. Ada cerita mengatakan bahawa pernah ada orang kampung yang melihat pocong di pokok tersebut. Pocong tersebut akan bergolek ke arah kenderaan yang lalu di situ lalu hilang begitu sahaja.
Bunyi motor Yamaha 110 SS Sariah memecah kesunyian malam diselangi dengan lolongan anjing yang semakin kuat dan mendayu-dayu. Kelihatan bulan mengambang dilitupi sedikit awan hitam melatari langit dimalam itu yang mendatangkan lagi rasa gerun kepada sesiapa yang melihatnya.
Tiba-tiba enjin motor Sariah mati begitu sahaja..."takkan lah habis minyak pulak kot,"hati Sariah berkata-kata. "ishk...motor ni, tengah-tengah malam ni buat hal lah pulak,"marah sedikit Sariah terhadap motornya.
"Ahhh...tolak ajelah, dah dekat pun rumah aku,"bisik hatinya lagi. Didepannya pokok ketapang yang dilatari cahaya bulan salau-salau, terdapat akar-akar berjuntai dipohon itu. Kalau dilihat dari dekat memang menakutkan. Sariah memang bukan jenis perempuan yang penakut, di dalam keluarganya, dialah yang paling berani. Kalau disuruh ke kedai waktu malam, memang tiada masalah kepadanya. Pernah dulu ketika kucing kesayangannya hilang, dicarinya sampai ke dalam hutan dibelakang rumahnya walaupun ketika itu waktu sudah menjangkau ke pukul 9 malam! Di dalam kampung Seri Cahaya ini, siapa yang tidak kenal Sariah, tiada lelaki yang berani untuk mengusiknya. Dengan susuk badannya yang agak besar, pantang ada yang mengusiknya, pasti kena hamburan kata-kata yang pedas dari mulutnya.
Tapi kali ni hati Sariah terasa berdebar-debar dan badannya seram sejuk apabila sahaja sampai dipohon ketapang itu. Tiba-tiba terdengar bunyi dengusan betul-betul dari bawah pokok itu. Dengusan itu pada mulanya hanya perlahan menjadi semakin kuat diikuti dengan dengan bunyi seperti ada yang mengoyang-goyangkan dahan pokok tersebut.
Sariah berhenti menolak motornya betul-betul dihadapan pokok besar itu lalu menegur, "Siapa tu, jangan main-main dengan aku, kang kena penangan kang," Tiba-tiba bunyi dengusan tersebut berhenti sebaik Sariah menegur. Sariah pun melihat-lihat ke arah pohon itu, gelap dan menakutkan, getus hatinya.
Ketika dia meninjau-ninjau ke arah pohon itu, tiba-tiba dia ternampak imbasan putih turun dari atas pokok itu lalu bergayut di juntaian akar-akar di bawah pokok. Imbasan putih menjadi semakin jelas sedikit demi sedikit yang akhirnya menampakkan satu lembaga putih yang tidak kelihatan wajahnya. Rambutnya panjang mengurai dan mengerbang menutupi keseluruhan wajah lembaga itu. Dari cahaya yang samar-samar itu, Sariah dapat melihat sendiri kain putih yang dipakai lembaga itu.
Lembaga itu hanya kelihatan terpaku di situ tidak bergerak cuma hanya mengadap ke arah Sariah. Sariah sendiri tidak pernah merasa setakut ini dalam hidupnya dan hanya teringat kisah-kisah yang diceritakan oleh orang kampung tentang misteri yang terdapat dipohon itu. Dia cuba membaca ayat-ayat suci Al-Quran tetapi setiap surah yang cuba dibacanya tidak dapat dibaca kerana terlupa. Kelu lidahnya, kaku tubuhnya tidak dapat berbuat apa-apa.
Tiba-tiba, lembaga itu mengilai dengan hilaian yang sangat nyaring, lalu terbang ke arah Sariah dengan menghalakan tangannya yang seakan-akan ingin mencekiknya. Sariah terperanjat lalu jatuh dan selepas itu dia tidak ingat apa-apa lagi yang berlaku.
"Begitulah ceritanya....iskh...memang menggerunkan," Kata Sariah sambil menggelengkan kepalanya berkali-kali. "Korang tak percaya ker?" tanya Sariah kepada kawan-kawannya sekerjanya yang datang melawat dia. Kawan-kawannya hanya tersenyum sahaja.
"Tulah ko, malam tu aku nak temankan ko balik ko tak nak, cakap besar, tak takutlah, mana ada hantulah, hah kan dah kena, baru padan muka ko," celah Mariam, kawan sekerjanya yang juga tinggal sekampung dengan Sariah.
"Yelah, yelah. Memang salah aku, mulut cabul sangat. Lain kali sorilah aku nak balik keje lewat macam tu," kata Sariah kembali. Kawan-kawannya yang hanya tersenyum sambil memandang ke arah Sariah yang terbaring dikatilnya.
Sebenarnya, selepas kejadian malam itu, Sariah telah pengsan dan dijumpai oleh orang kampung yang kebetulan lalu di jalan itu pada malam tersebut. Setelah dibawa ke rumah, Sariah demam teruk selama 3 hari dan baru hari ini membuka matanya dan berasa sihat sedikit.
Misteri pohon ketapang yang sering diceritakan oleh orang kampung dan yang diceritakan oleh Sariah sendiri masih belum dapat dirungkai lagi. Cubaan orang kampung untuk menebang pohon tersebut juga masih gagal dan kali ini mereka tiada jalan selain meminta pertolongan daripada Ustaz Haron Din untuk menghalau apa jua jenis makhluk halus yang terdapat di situ agar tiada lagi gangguan terhadap penduduk kampung.
Hasil Nukilan Talamkeladi.com
(hak cipta terpelihara..sebarang plagiat ke atas hasil ini adalah di larang sama sekali tanpa kebenaran daripada penciptanya)
waa... seram.. seram... Huhuhu...
ReplyDeleteFollow saya yer.. ^^
http://rinsyaryc.blogspot.com/
tq...insyaAllah..
ReplyDelete