Nuffnangs

Tuesday, April 12, 2011

Happy Mother's Day...Anugerah Ibu Mithali

ANUGERAH IBU MITHALI

Tanggal 19 April 1953,  lahirlah seorang insan yang dinamakan Noorisiah binti Udin yang comel dalam satu keluarga yang hidup bahagia walaupun dibelenggu kesusahan. Di kelilingi oleh adik-beradik yang agak ramai iaitu sebanyak 13 orang, wanita ini gagah dan tabah menjalani kehidupan seharian dengan tugasan menjaga adik-adik ketika ibu dan ayahnya keluar bekerja. Dengan rumah yang terletak di dalam satu kawasan terpencil dipinggiran hutan, hidup wanita ini memang serba kekurangan dan agak perit. Pernah dihantar ke sekolah tetapi dalam waktu yang singkat sahaja menyebabkan beliau menghadapi kesukaran untuk membaca dan menulis.

Ketika umurnya mencecah 19 tahun iaitu pada tahun 1972, beliau telah  dinikahkan dengan seorang jejaka yang 10 tahun lebih berumur daripada beliau dan dari sinilah bermulanya kehidupan beliau sebagai seorang isteri. Sejarah dan latarbelakang kehidupan beliau telah mengajar beliau tentang erti kehidupan. Ketika umur itulah juga, lahirnya cahaya mata mereka yang sulung dan dinamakan Faizal. Episod ceria mereka tidak berpanjangan ketika itu kerana Faizal disahkan menghidap polio dan memerlukan penjagaan rapi hinggakan satu ketika mereka terpaksa mengambil satu pilihan untuk menyelamatkan nyawa Faizal iaitu mengizinkan pihak hospital menyedut sum-sum tulang belakang Faizal sebagai usaha terakhir menyelamatkannya. Alhamdulillah, dengan izin Allah sw, dan berkat doa wanita ini dan suaminya, Faizal telah sembuh sepenuhnya selepas itu walaupun pada awalnya menghadapi masalah tumbesaran.

2 tahun kemudian, lahirlah pula cahaya mata kedua yang dinamakan Anuar. Ketika ini, kehidupan wanita ini masih seperti dulu, masih bekerja di ladang-ladang sebagai buruh dan penoreh getah. Namun, wanita ini bersyukur kerana tidak dihimpit dengan ujian yang teruk seperti sebelumnya.  Setiap kali ke tempat kerja, wanita ini hanya mampu bertawakal kepada Allah sw kerana terpaksa meninggalkan anak-anaknya di rumah kerana tidak mampu untuk mengupah pengasuh untuk menjaga anak-anaknya. Dengan kuasa Allah sw, anak-anak ini mampu berdikari ketika ditinggalkan sementara wanita ini dan suaminya keluar mencari rezeki.

Pada tahun 1976, lahirlah pula seorang puteri di dalam keluarga wanita ini dan dinamakan Dayangku Intan. Cahaya mata inilah yang ditunggu-tunggu oleh wanita ini dan suaminya kerana mereka begitu mengharapkan seorang anak perempuan. Anak ini dijaga dan dibelai seperti menatang minyak yang penuh. Namun, ujian sekali diberikan oleh Allah sw kepada mereka, anak ini juga disahkan menghidap polio. Belum sempat mereka berbuat apa-apa untuk menyembuhkannya, puteri cahaya mata mereka ini telah dipanggil menghadap ilahi ketika hanya berusia 8 bulan. Berderailah air mata wanita ini meratapi pemergian puteri tersayang ketika belum sempat mencurahkan sepenuh kasih terhadap anak ini. Namun, rencana Allah sw adalah melampaui kehendak insan dan umatnya. Mereka akhirnya redha dengan peristiwa ini dan percaya bahawa Allah sw ada lah Maha Mengetahui dari sekelian makhluknya.

2 tahun selepas itu lahirlah seorang lagi putera yang dinamakan Amran. Ketika itu, wanita itu dan suaminya tidak lagi bekerja sebagai buruh ladang. Mereka telah membuka warung menjual makanan di tempat yang dikenali sebagai simpang Ban Foo  di Ulu Tiram, Johor. Kehidupan mereka sedikit sebanyak berubah dan ketika inilah mereka sedikit-sedikit mengecapi kesenangan dalam hidup. Wanita ini dengan penuh rajin dan sabar, membesarkan anak-anaknya hingga berupaya memberikan pendidikan yang baik kepada mereka. Pada tahun 1983, mereka telah berpindah ke Kluang dan bermulalah kembali mereka kepada kerja-kerja diladang dan menoreh getah.

Pada tahun 1985, lahirlah cahaya mata mereka yang bongsu yang dinamakan Farouk. Kehidupan wanita ini dan keluarganya tidaklah begitu susah dan mereka masih dapat memberikan persekolahan dan pendidikan yang baik kepada anak-anak mereka. Untuk memudahkan mereka berulang-alik ke tempat kerja, wanita ini dan suaminya telah sepakat untuk berpindah ke rumah ladang. Tidak pernah terdengar rungutan daripada wanita ini tentang kehidupannya, samada susah ataupun senang. Setiap hari, tugasnya sebagai seorang ibu tidak pernah diabaikan. Pendidikan anak-anak adalah menjadi keutamaannya. Setiap hari, beliau akan memastikan, semua anak-anaknya menelaah buku sekolah dan menyiapkan kerja-kerja rumah sebaik mungkin. Walaupun tidak tahu membaca, wanita ini tetap akan bersama-sama memberikan semangat ketika anak-anaknya menghadapi peperiksaan.

Kegigihan, ketabahan, kesabaran dan tiada sifat berputus asa wanita ini telah membolehkan 2 orang anaknya menjadi Peguam, seorang menjadi jurutera dan seorang lagi sebagai jurujual kereta yang berjaya. Menyingkap sejarah kesusahan, keperitan, kesedihan dan pelbagai situasi yang mampu menggugat semangat seseorang itu, wanita ini tetap berpegang pada tekadnya, untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anaknya agar tidak menjalani kehidupan yang perit seperti beliau. 



Wanita ini adalah srikandi dalam hidup kami , dia adalah wira sebenarnya. Kehadiran beliau memberikan semangat kepada kami untuk mengubah nasib keluarga. Tiada harta yang ternilai untuk menggantikan segala jasa dan pengorbananmu.  Wanita ini adalah ibu kami. Wanita ini adalah srikandi kami. Wanita ini adalah ibu mithali kami.

2 comments:

Dear Frens...Leave your comment here...Really Appreciate it!

MEE BANDUNG BATU PAHAT KUAH KACANG

REMPAH SEGERA MEE BANDUNG
REMPAH SEGERA MEE BANDUNG

Bloggers Mengomel!!

QIBLAH DAN SHOLAT TIME ZONE