Nuffnangs

Friday, October 15, 2010

CERPEN : NUR KASIH

NUR KASIH

      Teringat aku ketika itu aku masih didalam darjah 3. Masa itu aku bersekolah yang diberi nama Sek Keb Ulu Tiram atau yang kebiasaanya disebut SKUT oleh orang-orang kat situ. Hari itu aku rasa sungguh malas nak ke sekolah sebab tengah hari itu hujan turun agak lebat. Macam biasa ibu sedang sibuk memasak di warung yang juga merupakan tempat tinggal kami sekeluarga. Ayah tidak kelihatan ketika itu, mungkin dia ada kat tempat basuh pinggan yang terletak dipintu belakang warung.

Ketika itu pelanggan tiada kerana mungkin belum waktu makan tengahari lagi. Baru pukul 11, detik hatiku sambil melihat jam mickey mouse yang baru dibeli oleh ayahku. Sudah lebih 5 tahun kami tinggal di situ. Banyak peristiwa pahit manis yang telah aku alami ketika di situ. Seingat aku, abangku dan aku sendiri tidak dilahirkan di situ. Abangku lahir di Kota Tinggi di mana ketika itu, ibu dan ayahku tinggal di sebuah estet di sana. Aku pulak lahir di Sri Gading Batu Pahat. Kalau orang tengok surat beranak kitaorang pasti orang akan tertanya-tanya. Ada yang kata ayahku seorang tentera atau polis kerana biasanya orang yang macam tu yang selalu berpindah randah macam nomad. Sebenarnya, ayah dan ibuku bekerja di sebuah ladang yang mana kerjanya mengikut kontrak. Habis kerja kat situ, pindah ke tempat lain. Begitulah kehidupan kami. Ibuku kata kami ada seorang lagi adik perempuan tetapi tuhan lebih sayangkan dia. Dia meninggal ketika berumur 8 bulan. Kena sakit polio. Kesian kan. Yelah ketika itu kehidupan kami sekeluarga miskin dan kurang pengetahuan tentang sakit itu. Adik ketika itu tidak di bawa ke hospital atau klinik dan oleh kerana keadaannya sudah serius, arwah adik tidak dapat diselamatkan lagi. Abangku juga pernah diserang polio tetapi nyawanya masih panjang. Alhamdullillah dia sembuh dan dapat menjalani kehidupan dengan normal sehingga kini.

Tersentak aku apabila tiba-tiba ada tangan menyentuh bahuku. "Min, tak nak  bersiap ke sekolah?" tanya ibu kepada ku. Rupanya ibu yang mungkin lama memerhatikan aku yang sedang mengelamun. "Rasa malas pulak lah bu..lagipun hujan lebat lagi ni. Siapa yang nak hantar min ke sekolah". "Ayah kau le, siapa lagi. Dah..jangan nak mengada-ngada. Cepat mandi dan bersiap. Nanti terlambat pulak"."Yelah...Yelah". dengan malasnya aku pergi ke bilik air yang terletak di belakang rumah aku. 

Pada suatu pagi ketika aku sedang  membuat kerja rumah di dalam bilik, ayahku pulang dengan senyuman yang paling lebar. Aku lihat ditanganya ada satu kotak yang tertera di hadapannya gambar televisyen cap ayam. Kalau tak salah aku jenama telefunken. Hatiku berdebar-debar apabila sahaja ayahku meletakkan kotak itu di atas meja kopi.

Ye...ye...ye...ye..ayah beli tv. Ketika itu abangku baru saja balik dan apabila dia nampak sahaja kotak televisyen itu, dia pun turut melonjak-lonjak kegembiraan bersama-sama aku.Adik aku yang bongsu, Amran sedang tidur turut terjaga apabila terdengar bunyi bising yang kami lakukan. Ayah dengan tenang membuka kotak televisyen tersebut dan meletakkan televisyen itu di atas almari yang juga merupakan almari baju kami. Aku bertanya kepada ayah, macamana nak tengok sebab takde antenanya, ayah ku menjawab antenanya ada didalam kotak. Siap dipasang kami 3 beradik tidak berganjak dihadapan tv. TV yang dibeli ayahku adalah tv hitam putih dan kami sekeluarga sangat seronok kerana dapat menonton rancangan kegemaran setelah sekian lama hanya mendengar cerita dari rakan-rakan disekolah.   Petang itu kami 3 beradik tidak keluar rumah untuk bermain basikal seperti biasa kerana leka dengan rancangan kartun ditv. Terima kasih ayah kerana faham dengan kehendak anak-anakmu.

Aku teringat pada satu masa, ketika itu cuma tinggal 5 hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Masa itu, kami 3 beradik sedang gembira bermain basikal di tepi warung kami. Aku masih ingat tempat kami bermain itu adalah jalan tanah merah yang menuruni bukit dan terdapat satu lopak air di laluan itu. Terdapat sekeping pintu kereta diletakkan ditengah-tengah lopak air tersebut kerana terdapat terdapat lumpur di situ. Mungkin tujuannya untuk mengelakkan tayar kereta dari terbenam agaknya. Entah macam mana ketika aku sedang menuruni jalan itu, kaki kanan ku tersangkut di pintu kereta itu dan aku terjatuh. Nasib baik tiada batu ditempat aku jatuh, Kalau tidak aku tidak tahu apa akan terjadi. Entah mengapa aku merasa pedih di bahagian atas tapak kakiku dan apabila aku lihat, rupa-rupanya kakiku telah luka dan jelas luka itu sangat dalam hingga menampakkan daging. Aku lihat darah mula keluar dengan banyaknya dan sakitnya sudah tertahan lagi. Aku rasa seperti mahu pitam dan ketika itu aku dapat rasakan ayahku mengangkat aku dan membawa aku ke klinik di Ulu Tiram. Aku masih ingat aku dihantar ke Klinik London yang memang terkenal di situ. Setelah luka itu dirawat aku telah dibawa pulang ke rumah dan ayahku beritahu bahawa luka aku dijahit sebanyak 8 jahitan. Malam itu aku tak dapat tidur sebab luka itu terasa berdenyut-denyut dan esoknya aku telah diserang demam panas. Di masa itu, ibuku telah menjaga aku dengan penuh kasih sayang. Nampaknya tahun ni aku terpaksa beraya di rumah dengan ditemani luka yang baru aku perolehi.

Curahan hujan yang lebat telah membangkitkan aku dari lamunanku. Sambil tersenyum sendirian di kerusi  pejabatku, aku mengusap-usap kaki ku. Jelas kelihatan parut seperti seekor lipan di atas  kakiku. Parut itulah yang menjadi pengajaran kepada ku supaya lebih berhati-hati ketika membuat sesuatu. Pernah satu ketika adikku bertanya tentang parut itu. Aku hanya mengatakan bahawa ada seekor lipan sudah masuk kedalam kakiku. Punyalah takut adikku ketika itu dan dia benar-benar percaya tentang apa yang ku ceritakan.

 Tiba-tiba aku terdengar bunyi ketukan di pintu. Daripada ruang cermin telus pandang dapat kulihat rakan ku sedang melambaikan tanganya kepada ku. Aku pun menyuruh dia masuk dengan melambaikan tanganku.

Assalammualaikum...Hani rakan baikku memberi salam sambil menghulurkan tangannya. Waalaikumsalam, jawabku sambil menyambut tanganya. Duduklah, kataku. Hani adalah rakan baikku yang juga seorang Peguam sama sepertiku. Pejabatnya terletak tidak jauh daripada pejabatku dan kami sering berjumpa sambil berbincang tentang kes dan juga apa sahaja masalah yang berlaku. Putih orangnya, agak chubby tapi comel juga. Sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan. Suaminya juga adalah seorang Peguam, sama seperti suamiku. Masing-masing mempunyai kecenderungan yang agak serupa iaitu berniaga. Walaupun Hani lebih muda daripadaku lebih kurang 5 tahun tapi kami dapat berkawan dan bersahabat kerana masing-masing mengetahui tentang hati budi masing-masing. Aku mengenalinya ketika dia mula-mula membuat ‘chambering’ di Batu Pahat. Dia orang Batu Pahat dan aku juga lahir di Batu Pahat tetapi sekarang menetap di Kluang.

Apa yang kakak menungkan tadi? Tanya Hani. TIba-tiba saya tengok akak tersenyum sendiri. Katanya lagi. Takdelah...akak teringat masa kecik-kecik dulu..dan kaki akak luka akibat main basikal. Ni hah.. tengok parut luka tu. Ada rupa macam lipan kan, ujarku. Aah lah kak.. betul macam lipan, balas Hani. Nampaknya  parut ni akan kekal seumur hidup kakak, kataku. Tapi bila akak tengok luka dan teringat masa silam, terasa sayu sebab masa ni jugalah akak akan teringatkan ayah dan ibu kakak. Kalau mereka ada lagi. Tak dapat rasanya nak balas semua budi dan jasa mereka, kataku sambil menahan kesayuan.

Sudahlah kak, mereka rasanya hidup aman di sana apabila tengok akak dan adik-beradik yang lain berjaya dalam hidup dan hidup bahagia dengan keluarga masing-masing, kata Hani sambil memegang tanganku. Marilah kak, kita keluar pergi minum...perut saya rasa laparle hujan-hujan ni. Saya belanja hari ni, pujuk Hani. Ok lah jom kita pergi. Nak pergi mana? Tanyaku. Kita  pergi Kluang Rail ok gak. Kata Hani. Naik kereta saya le, pelawa Hani. Jom kataku.

Sudah lebih 8 tahun aku menjadi pengamal undang-undang atau  dengan kata lainnya Peguambela dan Peguamcara. Sekarang aku mempunyai 4 orang cahaya mata, 3 perempuan dan seorang lelaki. Yang sulung sudah di Tahun 1 dan yang kecil berusia setahun. Suamiku juga seorang peguam dan sekarang ini sedang sibuk menjalankan projek perniagaan dengan suami Hani. Hidupku rasa sangat bahagia sebab suamiku seorang yang penyayang, penyabar, memahami dan sentiasa bersama keluarga. Alhamdullillah...ku harap semuanya akan berpanjangan sehingga ke syurga.

Aku masih ingat juga ketika aku bersekolah di Kluang setelah kami berpindah dari Ulu Tiram, ayahku masih menghantar aku ke sekolah dengan motor buruknya dan pada suatu masa aku dihadiahkan dengan sebuah basikal kerana mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Darjah Lima. Dengan basikal itulah aku ke sekolah setiap hari samada pagi atau petang. Tidak pernah terlintas di hatiku bahawa suatu masa nanti aku akan memandu kenderaan mewah seperti sekarang.

Ayahku seorang yang pendiam manakala ibu agak garang tetapi aku fikir dengan sifat garangnya itulah aku berjaya hari ini. Segarang mana ibu, sifat penyayangnya itu sukar untuk aku lupakan. Masakannya , pelukan manjanya, senyumannya memang tiada gantinya. Ya Allah...tempatkan ayah dan ibu dikalangan orang-orang yang  beriman dan engkau kasihi. Amin...
Perjalanan hidupku diteruskan dengan kehadiran anak-anakku dan suami tercinta.Kini aku tidak mahu anak-anakku merasa susah seperti aku dahulu tetapi dalam masa yang sama aku tidak mahu mereka hanyut dalam kesenangan dan kemewahan yang ada. Aku tetap mengajar mereka bagaimana untuk berdikari dan merasakan sedikit kesusahan kerana aku tidak mahu mereka terkapai-kapai sekiranya aku dan suamiku tiada lagi di dunia ini. Aku berdoa kepada Tuhan agar mereka juga tidak akan pernah jemu untuk mensedekahkan Al Fatihah kepada kami setelah kami pergi nanti. 

 Nukilan : Talam keladi
Hak Cipta terpelihara - sebarang plagiat adalah dilarang sama sekali tanpa kebenaran pencipta

Thursday, October 14, 2010

CERPEN : LEPAT PISANG LEPAT UBI

(...sambungan...)


“Anaknya kerja apa, kalau tak salah saya Adnan kan namanya?tanya Pak Din.

“Hah betullah tu. Sekarang dia dah jadi manager besar kat KL tu, meniaga import export katanya,”Haji Jalil menjelaskan kepada Pak Din.

 “Wah beruntung betul Tuan Haji ye. Tapi ada Diana beritahu apa-apa kat Haji tak  tentang persetujuan dia untuk dipinang ni?celah Pak Leman.

“Sebenarnya takdelah aku bertanya kepada Diana tentang perkara ni. Tapi dia nampaknya muram semacam saja sejak 2-3 hari lepas,”kata Haji Jalil.

 “Tuan Haji kenalah Tanya tuanpunya diri juga kan, kot-kot dia tak setuju ke, manalah tau,”Pak Leman menyambung.

“Tapi aku berkenan benar dengan anak Ibrahim tu, aku rasa sesuai benarlah dengan anak aku,”Haji Jalil cuba mempertahankan rombongan peminangan itu.

“Haji...saya bukannya apa. Saya datang ni mewakili anak saya, si Azman tu. Sebenar-benar ceritanya, Azman dan Diana dah berkawan lama...,”Pak Busra mencelah dan cuba menerangkan keadaan sebenarnya.

“Mereka tu...mereka tu,”kata Pak Busra terhenti-henti seperti sukar untuk mengungkapkan perkataan selanjutnya.

“Mereka tu apanya Busra?”Tanya Haji Jalil.

“Begini Haji. Biar saya yang bagitau hal sebenarnya. Mereka tu dah berkawan lama, mereka dah saling suka menyukai antara satu sama lain. Kalau boleh mereka ingin kekal hingga ke akhir hayat bersama. Harap Haji faham maksud saya,”celah Pak Leman pula.

“Leman, Din, Busra. Kamu semua jangan nak buat hal kat sini. Majlis peminangan tu akan sampai dalam beberapa jam lagi. Aku dah buat keputusan,”kata  Haji Jalil sambil menjegilkan matanya ke arah tiga sekawan itu.

Pak Busra, Pak Leman dan Pak Din hanya terdiam dan berpandangan sesame sendiri kerana tidak percaya kata-kata itu akan terkeluar dari mulut Haji Jalil.

“Haji, saya harap haji fikirlah masak-masak perkara ni. Saya rasa ia belum terlewat,”ujar Pak Leman dalam cubaan terakhirnya untuk mengubah keputusan Haji Jalil.

“Kalau macam tu, kami nak beransur dululah Haji,”celah Pak Din pula.

“Hah ye lah, harap kamu semua faham situasi aku,”kata Haji Jalil.

Mereka bersalam dengan Haji Jalil sambil berjalan ke muka pintu dan memberi salam.

Tiba-tiba, seorang pemuda, anak saudara kepada Haji Jalil berlari masuk ke dalam rumah dan terus mendapatkan Haji Jalil yang berdiri di muka pintu.

Pemuda itu dilihat  membisikan sesuatu ditelinga Haji Jalil dan tiba-tiba air muka Haji Jalil berubah seperti terkejut.

“Apa betul ke ni, kau jangan nak buat cerita pula Karim,”Haji Jalil seperti tidak percaya dan cuba mencari kepastian.

“Betul pakcik. Tadi kawan saya Sulaiman, anak saudara Pak Osman telefon. Itu yang saya datang sini,”sambung Karim.

Kelihatan Haji Jalil menarik nafas panjang.

 Babak 7

Lebih kurang 3 tahun kemudian.

“Yang, marilah minum. Ada kuih lepat pisang dan lepat ubi panas-panas ni. Sedap kalau diminum dengan kopi o ‘railway’ ni,”panggil Diana.

Kedengaran suara orang menyahut dari depan.
“Yalah, dah nak siap ni,”sahut suara itu.

Berlari seorang anak kecil dari bahagian depan rumah ke arah Diana.

“Mama, mama, alul nak kuih juga,”budak kecil itu menjerit pelat ke arah Diana sambil  menghentak-hentakkan kakinya ke lantai.

Alul adalah panggilan manja budak kecil yang bernama Kamarulzaman itu. Dia adalah anak sulung Diana dan berumur lebih kurang 2 tahun.

“Alul, nanti Mama ambilkan ok. Nanti Mama letak dalam piring  ye,”pujuk Diana.

“Alul duduk dulu,”kata Diana lagi.

“Mana babah kamu ni?”tanya Diana perlahan kepada anak kecil itu.

“Yang, cepatlah sikit. Alul ni dah tak sabar nak makan kuih,”panggil Diana lagi.

“Yalah, yalah, saya datang ni,”sahut suami Diana.

Kedengaran tapak kaki berjalan menuju ke bahagian dapur.

“Hah, anak babah dah lapar sangat ye,”kata lelaki itu. Lelaki itu tidak lain dan tidak bukan adalah Azman anak  Pak Busra yang kini menjadi suami yang sah kepada Diana.

Sebenarnya apa yang berlaku adalah 2 hari selepas rombongan peminangan Pak Osman dibatalkan, Pak Busra telah menghantar rombongan peminangan bagi pihak Azman dan peminangan itu telah diterima oleh Haji Jalil dan kini Diana dan Azman sudah sah menjadi suami isteri. Kamarul adalah cahaya mata pertama mereka berdua.

Pembatalan rombongan peminangan masih menjadi  tandatanya. Mengikut kepada sumber-sumber yang boleh dipercayai, anak Pak Osman telah ditahan polis kerana terlibat dengan gejala pengedaran dadah ketika tarikh rombongan peminangan itu hendak dihantar.

Begitulah adanya. Hidup mestilah sentiasa percaya bahawa segala yang baik akan dibalas dengan baik. Jodoh pertemuan adalah ditangan Allah s.w. Apa yang dirancang kadang-kadang tidak diizinkanNya. Perbuatan buruk pasti mendapat balasan setimpal.

Lepat Pisang Lepat Ubi
Mari diletak di atas piring
Kasih sayang tak boleh dibeli
Cinta dan budi jalan seiring.......

Tammat......jumpa lagi dilain cerita.

 Hasil Nukilan Talam Keladi
(hak cipta terpelihara..sebarang plagiat ke atas hasil ini adalah di larang sama sekali tanpa kebenaran daripada penciptanya)           

CERPEN : LEPAT PISANG LEPAT UBI

(...sambungan...)


“Yalah, memang lah orang tu kaya, ada kereta besar, rumah besar, tapi kalau Diana tak cintakan dia, tak kenal pun siapa dia, takkanlah  dia mau. Kau tak tau ke yang Diana kan sedang bercinta dengan Azman,”terang Hamid.

“Hah, yang tu memang aku tau. Nampak gayanya kalau mak bapak Diana terima pinangan orang tu, putih matalah  si Azman. Kesian kan,”kata Harun sambil merenung ke arah kuih lepat ubi yang dibawa oleh Hamid.

“Aku tau Azman mesti kecewa punya. Tapi apa nak buat kalau dah macam tu suratan takdir,”keluh Hamid sambil meletakkan bekas kuih ke dalam bakul basikalnya.

“Hah, yang ni kau tolong aku pegang ok, nanti aku upah sebiji kuih,”sambung Hamid lagi.

“Eh, no problem. Bak sini bekas tu,”ujar Harun dengan nada gembira sambil mengambil dua bekas kuih yang berisi kuih lepat ubi daripada Hamid.

Babak 6

Beberapa jam sebelum rombongan peminangan sampai. Di rumah Haji Jalil, suasana agak  sibuk  dan kecoh sedikit. Kelihatan Pak Leman, Pak Busra dan Pak Din sedang berbual-bual dengan Haji Jalil di ruang tamu.

“Saya tengok bukan main ceria lagi muka awak Ji,”Pak Din berkata sambil tersengih kepada Pak Leman.
“Dengarnya orang yang nak masuk meminang ni orang kampung sebelah ye?”Pak Din menyambung cuba mencari kepastian.

“Haah, Din. Orang tu duduk di Kampung Ladang Tebu tu aje. Pak Ibrahim, takkanlah kamu semua tak kenal,”Haji Jalil menjawab sambil tersenyum.

“Oh ye ke, manalah kami tau. Kalau Pak Ibrahim, memang kenal benarlah kami semua,”kata Pak Leman.

“Siapa yang tak kenal Pak Yim kerinting, memang terkenal pisangnya,”sambung Pak Leman.

Wednesday, October 13, 2010

CERPEN : LEPAT PISANG LEPAT UBI

(...sambungan...)


“Hah Som, tadi kamu ke mana?”Tanya Pak Busra sambil mengambil lepat pisang dihadapannya.   

“Ada kat belakang rumah, tengok-tengokkan pokok cili kita tu.”jawab Mak  Som.

“Macamana, ada masalah lagi tak, 2 hari lepas saya baru sembur racun serangga. Harap-harap tak diserang ulat seperti yang lepas,”Pak Busra cuba mencari jawapan.

“Nampaknya pokok-pokok semuanya baik Paknya. Cuma hasilnya mungkin agak kurang sikit kali ni. Buahnya tak berapa banyak macam yang lepas,”balas Mak Som.

“Eh ye ke, macamana boleh jadi macam tu, padahal benih yang saya ambil haritu adalah benih cili Kulai, mana boleh hasilnya berkurangan,”gerutu Pak Busra.

“Entahlah Paknya, mungkin disebabkan cuaca pada bulan lepas dan bulan ni agak tidak menentu sikit agaknya. Kan dalam satu dua minggu hujan saja,”terang Mak Som meredakan kebingungan Pak Busra.

“Betul juga cakap kau tu Som,”kata Pak Busra sambil menggaru-garu kepalanya yang agak botak itu.

Babak 5

“Eh Mid, kata nak pergi hantar kuih lepat ubi tu ke rumah tok ketua. Boleh aku tumpang ke sana?”tanya Harun kawan baik Hamid.

“Memang pun, kalau nak ikut jomlah. Aku nak pergi sekarang ni,” balas Hamid sambil berjalan ke arah basikalnya yang diletakkan di bawah rumah.

“Banyak kuih ni, boleh aku ambil satu tak,?gurau Harun.

“Kalau kau nak kena pelangkung dengan mak aku, kau cubalah ambil,”kata Hamid sambil tersengih.

“Ish, kau ni. Takkanlah aku berani nak ambil kuih ni. Lainlah kalau kau yang offer,”balas Harun.

“Mid, Diana setuju ke terima pinangan tu? Tanya Harun.

“Entahlah Run, aku fikir mesti dia tolak punya,”ujar Hamid.

“Kenapa pulak? Kan budak yang masuk meminang tu anak orang kaya,”kata Harun.

Tuesday, October 12, 2010

CERPEN : LEPAT PISANG LEPAT UBI

(...sambungan...)


“Busra, kau kena buat sesuatu. Kalau tidak mau gila dibuatnya si Azman tu. Kamu juga yang susah nanti,”Pak Leman seperti memberi cadangan kepada Pak Busra.

“Busra, kau jangan risau. Kami semua ada dibelakang kau. Sentiasa akan support kamu.”ujar  Pak Din pula.

Babak 3

 3 hari sebelum hari kehadiran rombongan peminangan. Disebuah taman bunga berdekatan dengan Pekan. Terlihat sepasang kekasih sedang berbual dengan penuh serius.

“Diana, bagaimana dengan perhubungan kita ni. Apakah kesudahannya sekiranya ibu dan ayah Diana terima pinangan si Mizi tu? Tanya Azman menginginkan jawapan segera dari Diana.

“Entahlah Man, Diana pun tak tau apa nak buat lagi, nampaknya ibu dan ayah Diana seperti tak sabar nak menerima kehadiran mereka dalam dua tiga hari ni,”jawab Diana.

“Tak boleh ke Diana cakap yang Diana belum bersedia lagi, atau cakap Diana nak sambung belajar ke, tentu mereka akan dengar,”balas Azman.

“Diana dah cakap pada mereka, tapi mereka macam tak peduli je,”gerutu Diana.

“Itulah Man, haritu Diana dah cakap suruh Man masuk meminang lebih awal, tapi Man bagi macam-macam alasan, hah tengok sekarang semuanya dah terlambat,”sambung Diana dengan seperti pasrah.

“Diana, Man bukannya apa, Man sebenarnya ingin menyiapkan diri Man dulu dengan kerja tetap,  gaji yang cukup untuk menampung kehidupan kita nanti, kahwin ni bukannya perkara main-main tau,”terang Azman.

“Haritu Man dah pergi interview kat Pekan tu, kerja kerani, nampaknya macam ada peluang,”kata Azman lagi.

“Diana, Man betul-betul cintakan Diana, dah takde orang lain lagi dalam hidup Man ketika ini, Diana tolonglah buat sesuatu agar peminangan itu ditolak,”pinta Azman dengan penuh serius.

“Man, Diana juga amat cintakan Man, tengoklah macamana, nanti Diana cuba pujuk ibu,”Diana cuba menenangkan keadaan.

“Apa kata kita lari saja nak. Diana sanggup ikut Man walau ke mana sahaja pun Man nak bawa,”rayu Diana.

“Diana, jangan buat kerja gila. Itu derhaka namanya. Tak cium bau syurga kita nanti kalau mak bapak kita tak restui kita,”nasihat Azman.

“Walau apa yang terjadi sekalipun, Man tetap cintakan Diana dengan sepenuh hati Man. Kita sama-samalah berdoa ok agar Tuhan temukan jodoh kita berdua,”kata Azman sambil merenung jauh ke hujung taman sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Babak 4

Dirumah Azman sehari sebelum hari peminangan.

“Man, kamu ada kat dalam bilik ke?Tanya Mak Som sambil meninjau-ninjau ke dalam bilik.

“Ish, apa kena dengan budak ni,”gerutu Mak Som.

“Man, oo Man, marilah keluar. Mak ada buatkan kuih kesukaan engkau ni. Kuih  Lepat pisang. Panas lagi ni,”Mak Som cuba memujuk Azman keluar dari bilik.  

“Tak pe lah Mak, Mak letak je lah kuih tu kat dapur. Nanti kalau orang nak orang pergi ambil sendiri,”jawab Man dari dalam bilik.

“Hah yalah, Mak letak kat atas meja makan ni, karang makan ye,”Kata Mak Som.

Kelihatan Pak Busra sedang duduk diruang tamu sambil membaca surat khabar Utusan Melayu.

“Apa kena dengan anak awak tu Som, lagi  pagi tadi aku tengok asyik memerap je dalam bilik. Tadi aku ajak ke kebun pun, dia buat dek je dengan aku, bila aku tanya terus masuk bilik, kunci pintu,”Tanya Pak Busra kepada Mak Som.

“Entah lah Paknya, saya pun tak tau apa yang berlaku. Tadi ada juga saya nak bertanya tapi dia tak nak jawab,”ujar Mak Som.

“Biarkan aja lah dia dalam bilik tu. Tak de apa-apa tu. Karang kalau dia lapar, dia keluar le,”sambung Mak Som.

MEE BANDUNG BATU PAHAT KUAH KACANG

REMPAH SEGERA MEE BANDUNG
REMPAH SEGERA MEE BANDUNG

Bloggers Mengomel!!

QIBLAH DAN SHOLAT TIME ZONE