Kedengaran dari jauh lolongan anjing bersahutan dihujung kampung. Dingin malam menyengat hingga ke tulang hitam. Sariah melihat jam ditangannya. "dah pukul 12.30" bisik hatinya.
Minggu ni adalah minggu pertama Sariah bekerja syif malam setelah sebulan dia bekerja di Kilang sarung tangan getah yang terletak di pekan. Sepatutnya dia balik pukul 11 malam tapi kerana kekurangan orang, malam ini semua orang yang bekerja terpaksa melakukan kerja lebih masa.
Suasana memang sunyi, keadaan jalan kampung hanya diterangi oleh lampu jalan yang samar-samar. Dari jauh dia terpandang pokok ketapang yang tinggi menjulang ke langit betul-betul berdekatan dengan sebatang lampu jalan. Banyak cerita dah didengarnya dari orang kampung, tentang pokok ketapang tersebut. Semuanya cerita yang tidak menyenangkan hatinya sekarang. "Ahh...pedulikan lah cerita-cerita tu...mengarut jer semuanya,"getus hatinya.
Rumahnya tidaklah berapa jauh daripada situ, cuma dalam 500 meter sahaja daripada pokok itu. Namun, antara pokok tersebut dan rumahnya tiada rumah penduduk kampung di situ. hanya tanah kosong yang ditumbuhi pokok-pokok hutan dan semak samun sahaja. Ada cerita mengatakan bahawa pernah ada orang kampung yang melihat pocong di pokok tersebut. Pocong tersebut akan bergolek ke arah kenderaan yang lalu di situ lalu hilang begitu sahaja.
Bunyi motor Yamaha 110 SS Sariah memecah kesunyian malam diselangi dengan lolongan anjing yang semakin kuat dan mendayu-dayu. Kelihatan bulan mengambang dilitupi sedikit awan hitam melatari langit dimalam itu yang mendatangkan lagi rasa gerun kepada sesiapa yang melihatnya.
Tiba-tiba enjin motor Sariah mati begitu sahaja..."takkan lah habis minyak pulak kot,"hati Sariah berkata-kata. "ishk...motor ni, tengah-tengah malam ni buat hal lah pulak,"marah sedikit Sariah terhadap motornya.
"Ahhh...tolak ajelah, dah dekat pun rumah aku,"bisik hatinya lagi. Didepannya pokok ketapang yang dilatari cahaya bulan salau-salau, terdapat akar-akar berjuntai dipohon itu. Kalau dilihat dari dekat memang menakutkan. Sariah memang bukan jenis perempuan yang penakut, di dalam keluarganya, dialah yang paling berani. Kalau disuruh ke kedai waktu malam, memang tiada masalah kepadanya. Pernah dulu ketika kucing kesayangannya hilang, dicarinya sampai ke dalam hutan dibelakang rumahnya walaupun ketika itu waktu sudah menjangkau ke pukul 9 malam! Di dalam kampung Seri Cahaya ini, siapa yang tidak kenal Sariah, tiada lelaki yang berani untuk mengusiknya. Dengan susuk badannya yang agak besar, pantang ada yang mengusiknya, pasti kena hamburan kata-kata yang pedas dari mulutnya.